Taklimat Pengantunan Siber
19 September 2025 | Aktiviti TerkiniPada 18 September, satu Taklimat Pengantunan Siber telah dijalankan melibatkan tiga orang pelajar sekolah rendah dari NADI Sungai Bandung. Dalam sesi tersebut, para peserta diberi penerangan terperinci tentang maksud pengantunan siber, iaitu keadaan apabila seseorang individu tidak bertanggungjawab cuba mendekati kanak-kanak melalui pendekatan mesra di platform digital seperti media sosial, permainan atas talian atau aplikasi pesanan.
Individu tersebut lazimnya akan berlakon sebagai kawan, menunjukkan keprihatinan atau memberikan perhatian berlebihan bagi membina kepercayaan mangsa. Setelah mangsa mula selesa, mereka akan cuba memanipulasi dengan meminta maklumat peribadi, gambar, atau mengajak berkomunikasi secara lebih peribadi. Perkara ini dianggap berbahaya kerana ia sering berlaku secara tersembunyi dan mangsa mungkin tidak menyedari niat sebenar pelaku.
Bagi mengukuhkan pemahaman peserta, sesi taklimat turut disertakan dengan kuiz interaktif. Soalan-soalan yang diajukan berkaitan situasi harian di alam maya serta cara mengenal pasti tanda-tanda pengantunan siber. Melalui aktiviti kuiz ini, pelajar dapat menguji kefahaman mereka secara praktikal dan berinteraksi dengan lebih aktif sepanjang program berlangsung.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: